Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera kepada semua Pegawai dan Kakitangan Bahagian Analisa Cukai, Kementerian Kewangan Malaysia. Syukur saya ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnianya dapatlah kita bertemu buat julung-julung kalinya di dalam Laman Blog Kelab Bahagian Analisa Cukai.
Tanggal 16 April 2009 adalah merupakan tarikh keramat bagi pembentukan Exco Kelab Bahagian Analisa Cukai Sesi 2009/2010 di mana buat pertama kalinya 6 Jawatan telah dipertandingkan untuk dipilih bermula daripada Jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Bendahari, Setiausaha dan 3 orang Ahli Jawatankuasa Exco Kelab dalam memacu dan merangka perjalanan bagi aktiviti Kalendar tahun 2009 dan 2010. Untuk itu maka saya selaku Presiden dan wakil Exco Kelab Bahagian Analisa Cukai mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada YBhg. Datuk, tuan-tuan dan puan-puan atas kepercayaan yang diberikan kepada kami dalam menggalas dan merencanakan pelbagai aktiviti yang bukan sahaja diharapkan dapat memberikan keseronokan dan kepuasan setelah penat bekerja tetapi juga pada masa yang sama dapat membentuk persefahaman dan jalinan kerjasama sebagai satu pasukan di antara para pegawai dan juga kakitangan Bahagian Analisa Cukai.
Selaras dengan arus pembangunan teknologi maklumat di abad ke 21, pihak pengurusan Exco Kelab Bahagian Analisa Cukai juga mengambil kesempatan untuk mewujudkan laman interaksi melalui capaian Internet sebagai salah satu wadah komunikasi yang dapat memanfaatkan dan memberikan maklumat terkini kepada ahli-ahli Kelab tentang aktiviti yang dijalankan sepanjang tempoh lantikan Exco iaitu bagi tahun 2009 dan 2010. Di samping itu, Laman Blog ini juga diharapkan akan dapat menjadi platform kepada ahli kelab untuk memberi cadangan, maklum balas dan juga pandangan dalam meningkatkan lagi keberkesanan pengurusan Kelab di masa hadapan. Pandangan dan cadangan yang bernas akan dibawa untuk dibincangkan ke Mesyuarat Exco Kelab yang diadakan setiap bulan, Namun ahli-ahli Kelab adalah dinasihatkan untuk menjaga tatabahasa dan sensitiviti ahli-ahli Kelab terutama dalam memberikan pandangan, maklum balas dan cadangan demi menjaga ketenteraman Laman Blog ini supaya ia sentiasa segar, berinformasi dan terpelihara.
Syabas dan tahniah kepada pihak pengelola Laman Blog Kelab dan diharapkan agar ianya akan dapat dikekalkan untuk pengurusan Kelab baru di masa hadapan. Akhir kata,
“Sekawan serindit terbangnya rendah,
Hinggap sebentar dipohon berangan
Andai ada silap dan salah
Maaf dipinta disimpan jangan”
Mohd Fadzlee Bin Malik
Presiden
Kelab Bahagian Analisa Cukai
Julai 2009
No comments:
Post a Comment